Cuba taip di sini...Google akan membantu anda...

Monday, August 17, 2009

Sejarah Sekolah

Sekolah ini mula dibina pada tahun 1949 dan dinamakan sebagai Sekolah Rendah Percubaan. Sekolah ini dibina oleh masyarakat setempat di bawah pengawasan Encik Peon bin Hj.Awang Asim. Tapak pertama sekolah ini terletak berdekatan dengan Pejabat Jajahan British ( Pejabat Residen Bahagian Samarahan sekarang ini.)

Sekolah ini hanya bermula dengan seramai 50 orang murid dan diketuai oleh Encik Awang Shahdan bin Awang Yaman selaku Guru Besar dan dibantu oleh tiga orang guru. Disebabkan masalah kewangan, sekolah ini tidak dapat bertahan lama dan terpaksa ditutup.

Penutupan Sekolah Rendah Percubaan ini memberi peluang kepada penduduk kampung untuk mendirikan sekolah sementara pada sekitar tahun 1950an. Encik Julai bin Jais menjadi Guru Besar sekolah dan mempunyai seramai 40 orang murid. Pada masa yang sama Mesyuarat Jawatankuasa telah diadakan untuk merancang mendirikan sekolah yang baru.

Rancangan ini menjadi kenyataan apabila pada penghujung tahun 1950, sebuah sekolah baru telah berjaya dibina berdekatan dengan pasar Muara Tuang, berhampiran Sungai Samarahan. Tuan Hj.Ibrahim bin Hj.Ahmad, salah seorang penduduk kampung mencadangkan agar sekolah ini dinama-kan Sekolah Dato’Traoh. Ini disebabkan mengikut sejarah awal Dato’Traoh; beliau adalah anak salah seorang Dato’Undi, terkenal dengan kebaikan, berbudi bahasa dan suka menolong masyarakat setempat ke arah perkembangan pendidikan.

Justeru, untuk mengenang jasa baik dan pengorbanan beliau terhadap masyarakat setempat, maka penduduk setempat bersetuju menamakan sekolah ini atas nama beliau. Jumlah murid pada ketika ini berjumlah seramai 50 orang.

Pada tahun 1960an, kepimpinan sekolah telah diambilalih oleh Cikgu Mahdar bin Hussain. Pada ketika ini, nama sekolah telah diubah dengan nama SRK.Muara Tuang.Pada tahun 1970an, tempat beliau diambilalih pula oleh Cikgu Sharif bin Nordin. Seterusnya, pada tahun 1980, sekolah ini diambilalih oleh Cikgu Azmi bin Mustapha. Mulai tahun ini jumlah murid mula meningkat sehingga 300 orang. Seramai 15 orang guru telah berkhidmat pada ketika itu. Cikgu Azmi hanya berkhidmat di sekolah ini selama 2 tahun sahaja dan selepas itu, tempat beliau diambilalih oleh Cikgu Ali bin Kabir, yang hanya bertugas di sekolah ini selama setahun.

Pada tahun 1983, Cikgu Dahlan bin Mursalin telah dilantik untuk menjadi Guru Besar, mengambilalih tempat Cikgu Ali bin Kabir. Khidmat beliau di sekolah ini juga singkat, iaitu hanya selama setahun.Seterusnya, kepimpinan sekolah diambilalih oleh Cikgu Deris bin Rambli, yang berkhidmat di sekolah ini dari tahun 1984 hingga tahun 1986.

Setelah itu, tempat beliau diambilalih oleh Cikgu Saji bin Ahim, yang berkhidmat di sekolah sehingga pertengahan tahun 1994. Pada ketika beliau mentadbir sekolah ini, beliau telah menamakan kembali sekolah ini kepada nama asal, “ SRK.Dato’Traoh, Muara Tuang,” atas sebab sebelum ini ramai orang keliru dengan SRK.Jalan Muara Tuang.

Pada tanggal 16 Jun 1994, tempat beliau telah diambilalih oleh Cikgu Awg.Fadzellah Hj.Awg.Matusin bekas Pegawai Pendidikan Daerah Lundu, sehingga sekarang.